Festival Sains, Teknologi, dan Inovasi Terengganu 2024 (FeSTI) yang berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober 2024 di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) telah menjadi platform dalam memupuk minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan masyarakat, khususnya belia.
Selama tiga hari yang penuh dengan pengisian interaktif dan menyeronokkan, FeSTI telah menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti bengkel STEM, pameran teknologi terkini, serta gerai pameran interaktif daripada pelbagai institusi dan organisasi yang berfokus kepada pembangunan inovasi. Festival ini bukan sahaja menyampaikan pengalaman pembelajaran secara langsung, malah turut memperlihatkan bagaimana STEM menjadi tulang belakang kepada kemajuan ekonomi, sosial dan pendidikan di negeri Terengganu.
Program ini membuka peluang luas kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan teknologi masa depan, termasuk inovasi dalam bidang robotik, tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan, dan banyak lagi. Ia turut menjadi ruang perkongsian ilmu antara komuniti profesional STEM, institusi pendidikan, syarikat teknologi, dan agensi kerajaan yang terlibat secara aktif dalam memperkukuh ekosistem inovasi tempatan.
FeSTI 2024 menjadi bukti bahawa pendekatan yang kreatif dan kolaboratif dalam menyampaikan ilmu dapat menyemai minat dan pemahaman mendalam terhadap STEM, sekaligus melahirkan generasi muda yang celik teknologi serta bersedia menyahut cabaran era Revolusi Industri 4.0.

