Pada 27 Jun 2024, Cybersolution Technologies Sdn Bhd (CTSB) telah mengambil bahagian dalam AI & Content Creation Seminar 2024 yang berlangsung di N28a, Fakulti Pengkomputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Seminar ini menjadi medan penting untuk memperlihatkan kemajuan teknologi terkini dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Robotik, dan Aplikasi Bandar Pintar kepada para pelajar dan warga akademik.
Sebagai salah satu peserta pameran, CTSB telah memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan pelbagai inisiatif teknologi yang sedang dibangunkan, selain menawarkan peluang kerjaya kepada pelajar yang berminat menyertai dunia teknologi dan pembangunan perisian dalam sektor kerajaan pintar dan automasi.
Seminar ini turut menampilkan sesi panel bersama pakar industri terkemuka, termasuk Ts. Arina Binti Ramlee, Ketua Pegawai Teknologi CTSB, Dr. Lau Cher Han, Encik Wesley Chong Kwai Yang, dan Encik Louis Ghee. Para panel telah berkongsi pandangan strategik mengenai masa depan AI dan bagaimana teknologi ini boleh digunakan untuk memacu inovasi dalam pelbagai sektor, termasuk sektor awam.
Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak UTM atas kejayaan menganjurkan seminar ini yang bukan sahaja menjadi ruang perkongsian ilmu, malah turut menghubungkan dunia industri dan akademik dalam ekosistem teknologi yang pesat berkembang. Cybersolution Technologies komited untuk terus menyokong pembangunan bakat dan memperluaskan peluang dalam bidang teknologi digital di Malaysia.




